Monday 3 October 2011

Mangsa diacu parang ke leher



HUTAN MELINTANG - Sebilah parang yang diacukan ke leher oleh seorang penjenayah satu mimpi ngeri bagi seorang wanita dalam kejadian samun di sebuah kedai, di Jalan Bagan Datoh, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berkenaan berlaku di kedai milik adik ipar mangsa, pada jam kira-kira 11 malam.

Menurutnya, mangsa bersama pemilik kedai yang juga seorang wanita berusia 45 tahun serta seorang pekerja sedang bersiap-siap untuk menutup premis perniagaan ketika kejadian berlaku.

“Kegiatan samun itu dilakukan dua lelaki berusia 19 dan 33 tahun, yang mengenakan topeng pada ketika itu bagi mengelak identiti mereka dicam.

“Kedua-dua suspek telah masuk ke dalam premis kedai terbabit dan telah mengacukan parang kepada mangsa sebelum melakukan kegiatan samun,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan berdasarkan pertuturan mereka dan telah menyamun wang tunai sebanyak RM1,000 serta duit syiling sebanyak RM300 daripada premis kedai terbabit.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah dan kejadian itu turut disedari oleh jiran mangsa yang sempat melemparkan sesuatu sehingga terkena pada cermin belakang kereta berkenaan.

“Pemilik premis perniagaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan daripada hasil maklumat yang diterima, kami telah berjaya merampas kereta berkenaan di Kepong, Selangor.

“Kereta yang dinaiki suspek juga disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu semasa melakukan kegiatan samun di premis kedai terbabit,” katanya.

Beliau memaklumkan, sepasukan polis dari IPD Teluk Intan telah menyerbu rumah abang ipar salah seorang suspek di Kepong awal pagi semalam, setelah menerima maklumat.

“Hasil serbuan yang dilakukan di rumah berkenaan, kita telah berjaya merampas kereta terbabit yang mana nombor pendaftarannya telah ditukar kembali kepada nombor pendaftaran asal.

“Ekoran rampasan kereta yang sebenarnya milik abang ipar salah seorang suspek terbabit, seorang lelaki Melayu berusia 33 tahun turut berjaya ditahan dan wang dipercayai hasil samun sebanyak RM92 turut dirampas,” katanya.

Kok Liang berkata, polis kini sedang giat menjejaki seorang lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian samun bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment