Monday 3 October 2011

Percutian berakhir tragedi



KLUANG – Hasrat seorang anggota polis untuk pergi bercuti bersama-sama rakan-rakannya menaiki motosikal secara berkonvoi ke Mersing tidak kesampaian apabila beliau maut dalam kemalangan di kilometer (km) 80.6 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.10 petang itu telah menyebabkan Irwan Effandi Ahad, 30, meninggal dunia apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas di selekoh jalan sewaktu menuju ke Mersing.

Difahamkan, mangsa merupakan anggota polis yang berpangkat Asisten Superintenden (ASP) yang bertugas di Bahagian Narkotik Penjara Simpang Renggam yang mana sebelum ini beliau bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad, mangsa masih dalam cuti dan berhasrat menghabiskan cuti di Mersing. Namun hasratnya itu tidak kesampaian apabila motosikal berkuasa 1000cc yang ditunggangnya terbabas masuk ke

dalam pembetung air di selekoh jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di klinik yang terletak di Kahang kerana sewaktu dibawa dari tempat kejadian, mangsa masih hidup.

“Mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan yang teruk di bahagian dalaman dan kaki mangsa dipercayai patah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Daerah Kluang untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment