Monday 3 October 2011

Doktor cuti bersalin diminta jadi saksi



SUNGAI PETANI - Mahkamah meminta seorang doktor dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang sedang cuti bersalin menjadi saksi satu kes rogol di Bandar Amanjaya.

Hakim, Norsalha Datuk Hamzah meminta Timbalan Pendakwa Raya, Hasnurliza Mohd Radzi untuk menghubungi doktor terbabit bagi menjadi saksi kes rogol pada sambungan perbicaraan 17 Oktober ini.

Berdasarkan prosiding perbicaraan, Norsalha meminta Hasnurliza menghubungi doktor terbabit memandangkan rekod menunjukkan doktor terbabit bercuti sehingga Oktober dan tarikh tidak ditetapkan.

Sementara itu, seorang lelaki dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan rogol seorang gadis bawah umur.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, lelaki itu pada 17 Jun 2009 jam 4 hingga 5 petang didapati merogol seorang gadis berumur 14 tahun 5 bulan di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Anggerik 5/15, Bandar Amanjaya, di sini.

Pertuduhan kedua, lelaki terbabit didapati merogol gadis sama pada 25 Jun 2009 jam 11 malam hingga 12 malam di alamat sama.

Kedua-dua pertuduhan dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang lima tahun penjara dan juga sebatan.

Berdasarkan prosiding perbicaraan, ibu mangsa yang dipanggil menjadi saksi memberitahu mahkamah bahawa anaknya (mangsa) ditemui di dalam bilik rumah tertuduh di Bandar Amanjaya setelah didapati tidak pulang ke rumah.

Mangsa kemudiannya menceritakan kepada ibunya dia dirogol lelaki berkenaan selepas dibawa pulang ke rumah.

Perbicaraan disambung 17 Oktober depan.

No comments:

Post a Comment