Monday 3 October 2011

Tetap tak mengaku salah



KANGAR – Mahkamah Sesyen semalam menangguhkan perbicaraan kes sepasang adik-beradik yang didakwa menyimpan pelbagai senjata api di Taman Perlis, di sini November depan.

Permohonan penangguhan itu dibuat Timbalan Pendakwa raya, Noor Syazwani Mohd Sobri berikutan beberapa laporan pendakwaan masih belum siap.

Hakim, Wan Norzanuar Wan Ahmad kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding semalam, Nyan Swee Keat, 41, dan Nyan Swee Tik, 35, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas semua dakwaan yang dibacakan terhadap mereka.

Kedua-dua mereka yang diwakili peguam M Athumulan itu bagaimanapun tidak dibenarkan diikat jamin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pelbagai jenis senjata api termasuk dua pucuk Revolver.38 Special 2 dan lebih 2,700 peluru berbagai kaliber dan jenama dirampas polis Perlis di beberapa lokasi di Taman Perlis, dekat sini.

Rampasan terbesar tahun ini itu dibuat selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang juga pasangan adik beradik.

Ketua Polis Perlis, Zull Aznam Haron berkata, hasil maklumat awam dan risikan polis, pelbagai jenis senjata api dirampas di beberapa lokasi berlainan sekitar taman terbabit kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, antara senjata api yang dirampas ialah dua pucuk Revolver.38 Special 2, sepucuk pistol automatik jenis Barreta, sepucuk pistol automatik jenis Glock dan selaras senapang patah.

Turut dirampas, lebih 2,700 peluru berbagai kaliber dan jenama, lebih 400 katrij senapang patah, sejumlah kelopak peluru Magazine, tujuh bilah senjata tajam, sebilah pedang samurai, dua bilah pisau, dua batang lembing, sejumlah bahan letupan dan dua kereta lama jenis Mercedez Benz dan Hyundai.

No comments:

Post a Comment