Monday 3 October 2011

Eksekutif syarikat swasta beri suapan RM50 didenda RM5,000



SHAH ALAM 3 Okt. - Seorang eksekutif syarikat swasta yang memandu kereta tanpa cukai jalan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi suapan RM50 kepada seorang anggota polis trafik bagi melindungi kesalahan itu pada Julai lalu.
Hakim Asmadi Hussin turut memerintahkan R.M. Segaranathan, 27, supaya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, beliau sempat memberi peringatan kepada tertuduh agar sentiasa menjelaskan cukai jalan kereta kerana kesalahan tersebut akan memberi implikasi yang amat besar kepada diri sendiri dan orang lain.
"Tidak ada cukai jalan, amat berbahaya. Kalau kemalangan, mati 'katak' kamu. Itu kalau mati, kalau cedera parah, patah riuk bagaimana?.
"Nasib baik kamu ditawarkan pertuduhan alternatif, hukuman lebih ringan. Kalau tidak, saya tidak akan teragak-agak untuk menghantar kamu ke penjara," kata Asmadi.
Segaranathan didakwa atas tuduhan memberi suapan RM50 kepada Sarjan Mohd. Amir Mohd. Yassin dari Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Klang, di Jalan Batu Ujur, Klang, Selangor, pada pukul 10 malam, 23 Julai lalu.
Wang tersebut didakwa diberikan sebagai dorongan agar anggota polis trafik itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1887 iaitu memandu kereta jenis Honda Civic tanpa cukai jalan yang sah.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi.
Dia bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah apabila ditawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara satu perempat daripada tempoh maksimum kesalahan asal atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee manakala tertuduh diwakili peguam Silas Seenivasagam.

No comments:

Post a Comment