SUBANG 3 Okt. - Seorang gadis yang akan melangsungkan perkahwinan pada 23 Oktober ini mahu mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya.
Bagaimanapun, Rehan Mohamed, 27, (gambar) dari Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh berhadapan kesukaran untuk mengesan bapanya berikutan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai lelaki itu.
Malah katanya, ibu angkatnya, Siti Halimah Abas, 66, juga tidak mempunyai maklumat mengenai ayah kandungnya itu.
"Orang yang mengetahui mengenai perkara itu hanya ayah angkat, Mohamed Hashim, tetapi dia sudah meninggal dunia pada 2002. Selama ini saya tidak pernah bertanya secara terperinci soal itu kerana menggangap ia tidak penting," ujarnya ketika ditemui di kediamannya semalam.
Berikutan itu, Rehan berkata, permohonan telah dibuat di Mahkamah Syariah Shah Alam yang menetapkan prosiding pada 18 Oktober ini bagi membolehkan dia menggunakan wali hakim sekiranya tiada sebarang maklumat diperoleh mengenai ayah kandungnya.
Siti Halimah pula berkata, dia tidak mempunyai maklumat mengenai keluarga kandung Rehan kerana urusan pengambilan anak angkat dilakukan Allahyarham suaminya pada 1985.
"Apa yang saya tahu, arwah ada memberitahu bahawa seorang rakan yang dilanda kesempitan hidup meminta tolong menjagakan bayi (Rehan)," katanya.
Dia berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keluarga kandung Rehan supaya menghubunginya di talian 012-2098545.
No comments:
Post a Comment