Monday 3 October 2011

Hilang kawalan langgar tebing



KUALA PILAH – Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tebing jalan di Jalan kampung Sungkak, lewat petang kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Asisten Superintendan Md Faisal Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.45 petang kelmarin di Kilometer 8 Jalan Sungkak, dekat sini.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa dikenali sebagai S Matan, 27, datang dari arah Bahau menuju ke Kuala Pilah itu dipercayai dipandu laju.

Ditambah pula, katanya, dengan permukaan jalan raya yang licin selepas hujan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar tebing sehingga menyebabkan bahagian depan kereta rosak teruk.

“Mangsa cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Md Faisal berkata, mangsa yang tersepit di depan kereta berjaya dikeluarkan oleh orang ramai.

“Mangsa hanya seorang diri sahaja di dalam kenderaan tersebut untuk ke Kuala Pilah.

“Sesiapa mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini boleh menghubungi balai polis berdekatan menerusi talian 06- 4811222,”katanya.

No comments:

Post a Comment