Monday 3 October 2011

Kawasan paya diceroboh gondol



Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof
bhjb@bharian.com.my
2011/10/04

  PENEBANGAN pokok  secara haram  di kawasan   paya bakau  di Kampung Guntung Nanas, Johor Lama.
PENEBANGAN pokok secara haram di kawasan paya bakau di Kampung Guntung Nanas, Johor Lama.
Aktiviti tebang hutan secara haram di Kampung Guntung Nanas 

KOTA TINGGI: Sikap tamak punca kawasan paya seluas 0.4 hektar daripada keluasan 20 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Johor, di Kampung Guntung Nanas dekat Johor Lama di sini, didapati gondol selepas diceroboh serta berlaku penebangan haram secara besaran.
Kawasan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari simpang Jalan Desaru-Kota Tinggi itu bukan saja digondol, malah terdapat timbunan kayu hutan yang dilonggokkan di beberapa kawasan sebuah ladang kelapa sawit yang terletak beberapa meter dari situ.
Pemilik ladang yang hanya mahu dikenali sebagai Samsudin, berkata beliau mula menyedari tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu pada Ogos tahun lalu dan sehingga kini kerja penebangan itu dilihat masih giat dijalankan. 

“Saya agak hairan dengan tindakan mereka yang sanggup masuk ke kawasan pedalaman dengan keadaan jalan tanah merah dan tidak berapa elok untuk menebang hutan. Pada mulanya, saya hanya berdiam diri namun minggu lalu, penebangan haram itu sudah memasuki kawasan ladang saya mencantas beberapa dahan pokok sawit tanpa sebarang kebenaran serta rundingan. 

“Saya kecewa dan marah. Jika penebangan itu dilakukan secara sah, sepatutnya mereka datang berjumpa dengan pemilik ladang dan meminta kebenaran untuk menggunakan laluan ladang.. Ini tidak, mereka lakukan seperti ladang ini tidak bertuan, " katanya ketika ditemui. 

Katanya, selain mencantas pokok sawit miliknya terdapat empat jentera berat yang masuk ke ladangnya menyebabkan laluan ke kawasan ladang berlopak dan rosak. 
“Sebuah rumah peninggalan arwah bapa saya di penghujung jalan ini juga disalah guna pihak terbabit apabila bil air bulan lalu melambung sehingga mencecah RM250, " katanya. 

“Saya sudah membuat laporan polis pada 26 September lalu kerana pencerobohan kawasan ladang saya dan pada masa sama aduan ke Jabatan Hutan hari yang sama. 

“Saya berharap tindakan segera dan tegas dapat diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab ini supaya tindakan penebangan itu tidak berlanjutan ke kawasan lain yang dikhuatiri boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar, " katanya. 

Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Johor Bahru, Rajihan Rahim, berkata pihaknya sudah menerima aduan pemilik ladang sawit terbabit mengenai pencerobohan di hutan berdekatan serta tanah ladangnya. 

“Pegawai saya sudah pergi dan mengukur kawasan HSK itu dan kami dapati hanya 0.4 hektar tanah yang diceroboh, manakala selebihnya dalam kawasan berlesen. Kami juga mengambil langkah mengepung kawasan terbabit. 

“Isu ini masih dalam pemantauan dan siasatan Jabatan Hutan Daerah Johor Bahru termasuk mendapatkan maklumat sama ada pihak berkenaan menebang hasil hutan untuk tujuan pertanian atau jualan kayu," katanya. 

Katanya, jika disabit kesalahan penceroboh kawasan HSK Sungai Johor yang meliputi kawasan seluas 3,919 hektar sepanjang persisiran Sungai Johor boleh didakwa mengikut Seksyen 15(1) dan 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984, yang membawa hukuman hukuman denda tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun.

No comments:

Post a Comment