Monday 3 October 2011

Kereta remuk rempuh bas



REMBAU – Seorang jurujual kereta maut apabila kenderaan dipandunya merempuh sebuah bas henti-henti dari arah bertentangan di Kilometer 19, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi itu, mangsa, B Manivanan, 32, yang ketika itu memandu dari arah Seremban maut di tempat kejadian selepas merempuh sebuah bas dari arah Rembau.

Pemandu bas, Low Kam Sang, 55, berkata, ketika kejadian dia seperti biasa melakukan rutin tugasan membawa penumpang dengan memandu dari Bandar Tampin menghala ke Seremban.

“Segalanya berlaku dengan pantas. Ketika kejadian, saya membawa kira-kira 25 penumpang dan terperanjat apabila sebuah kereta dari arah bertentangan merempuh bahagian depan bas.

“Selepas dirempuh, bas yang saya pandu terpesong ke jalan bertentangan dan ketika itu hanya mendengar suara penumpang bas menjerit ketakutan serta panik dengan apa yang berlaku,” katanya, semalam.

Terdapat tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan maut berkenaan iaitu kereta jenis Proton Wira, bas henti-henti dan sebuah motosikal yang ditunggangi serta dibonceng dua beradik.

Kedua-dua beradik berkenaan dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Jelebu dan kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Proton wira hilang kawalan semasa cuba memotong sebuah kenderaan lain dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah bas.

Menurutnya, pada masa sama, sebuah motosikal yang mengekori belakang bas turut terlibat dalam kemalangan dan mengalami kecederaan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk dibedah siasat.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Sehubungan itu, orang awam yang melihat kejadian berkenaan diharap dapat menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan menerusi talian 06-6852222,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Mohd Yusoff Samad bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

No comments:

Post a Comment