Friday 30 September 2011

Berbasikal jual DVD haram






ZAINAL Abidin Othman (kanan) bersama pegawainya mempamerkan DVD dan basikal yang dirampas daripada seorang lelaki yang menjual DVD tanpa tapisan di Bahau, dekat Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 30 Sept. - Helah seorang lelaki warga China menjual cakera padat digital (DVD) dengan menggunakan basikal terbongkar apabila ditahan di sebuah medan selera di Bahau dekat sini, semalam.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan, hasil maklumat awam.
Ketika ditahan suspek membawa bungkusan plastik hitam mengandungi sebanyak 167 DVD pelbagai filem serta drama dari Korea dan China
Ketua Cawangan BKF KDN negeri, Zainal Abidin Othman memberitahu, kesemua DVD yang dijual dengan harga RM8 sekeping itu tidak mempunyai sijil Perakuan B daripada Lembaga Penapisan Filem.
"Pihak kami telah menjalankan risikan selama sebulan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penjualan DVD secara haram di restoran dan medan selera di pekan terbabit.
"Kita kemudian berjaya mengesan seorang lelaki warga China menaiki basikal sambil membawa bungkusan plastik dan berlegar-legar di sebuah medan selera," katanya di sini, semalam.
Katanya, berdasarkan maklumat, suspek bergiat aktif pada sebelah pagi dan malam dengan bergerak dari meja ke meja para pelanggan.
"Suspek ditahan mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan Sijil Perakuan B.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment