Friday 30 September 2011

Lelaki dipercayai terbabit 25 kes samun dan ragut ditahan



KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam 25 kejadian samun dan ragut di sekitar Ampang termasuk kes ragut membabitkan seorang pelakon wanita era 80-an awal bulan ini, ditahan dalam satu operasi cegah jenayah, Rabu lepas.

Polis turut menemui sebilah parang pada badan lelaki itu dan hasil pemeriksaan juga mendapati motosikal yang digunakan lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan ketika dia menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan bersama rakannya, kata Ketua Polis Daerah Ampang ACP Amiruddin Jamaluddin.

"Suspek dan rakannya (lelaki) itu cuba melarikan diri...tapi dia terjatuh (dari motosikal) dan berjaya ditahan, manakala rakannya sempat meloloskan diri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat, lelaki terbabit mengaku dia dan rakan-rakannya terlibat dalam hampir 25 kes samun dan ragut di sekitar Ampang termasuk dua kes terbaru iaitu pada 13 dan 26 Sept yang membabitkan seorang pelakon dan peniaga dengan nilai kerugian hampir RM50,000.

Amiruddin berkata dalam kejadian 13 Sept lepas, seorang pelakon wanita, Maria Arshad yang juga ibu kepada pelakon Ijoy Azahari, diragut di perkarangan rumah anaknya di Taman Melawati ketika pelakon itu baru keluar dari kereta pada pukul 3.50 petang.

Kejadian pada 26 Sept pula membabitkan seorang peniaga berumur 35 tahun ketika peniaga berkenaan dan suami berkunjung ke rumah rakannya di Lembah Keramat, katanya.

Beliau berkata rumah rakan mangsa telah didatangi sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar bertutup muka dan kesemua mangsa diugut dengan parang agar menyerahkan barangan berharga masing-masing kepada suspek.

Lelaki yang turut mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan jenayah kekerasan dan dadah itu kini direman sehingga 3 Okt dan polis kini giat menjejaki rakan-rakan lelaki itu yang dipercayai lebih dari tiga individu berumur dalam lingkungan 20 dan 30-an, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment