Friday 30 September 2011

Enam sekawan hadapi tuduhan membunuh

KLANG: Enam sekawan termasuk tiga remaja di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dalam kejadian di pusat komersial di sini, dua minggu lalu.
Peniaga, Mohd Ezuwan Azmasah, 23; mekanik, Mazly Sulaiman, 23; penghantar surat, Abdul Rahman Abdul Latiff, 21, dan tiga remaja berusia antara 17 dan 18 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azlinda Mohd Sharif.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa terbabit dalam perhimpunan haram dan dengan niat bersama membunuh R Sasikumar, 21, antara jam 2.30 dan 3 pagi pada 18 September lalu di kawasan Kompleks Pandamaran, di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azilah Mat.


Azlinda menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

No comments:

Post a Comment