Friday, 30 September 2011

11 kaki judi kena cekup



KUANTAN - Gara-gara leka ‘melayan’ judi Roulette dan judi Buah, 11 pelanggan termasuk dua penjaga di dua pusat kafe siber ditahan polis manakala 28 set komputer disita dalam Ops Dadu Mesin Judi ,di sini malam kelmarin.

Dalam operasi yang diadakan di Jalan Air Putih itu, dilakukan oleh pegawai dan anggota dari Cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bertindak menyerbu kedua-dua premis yang berada bersebelahan di Lorong Seri Setali itu selepas melakukan beberapa intipan sebelum ini.

Ketika serbuan jam 10.30 malam itu, pelanggan dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun itu sedang leka bermain judi siber sehingga ada yang membawa bekalan makanan dan minuman.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkata, premis tersebut pernah diserbu beberapa kali sebelum ini malah lesen operasi turut dibatalkan.

Bagaimanapun, pemilik bertindak berani dengan beroperasi secara haram walaupun tidak mempunyai lesen.

“Judi Roulette menjadi kegilaan kaki judi siber kerana ia dihubungkan di seluruh dunia malah pelanggan akan leka bermain sehingga sanggup menghabiskan wang dan masa untuk melayan ketagihan judi mereka.

“Kedua-dua premis terbabit didapati beroperasi di situ sejak beberapa tahun lalu dan sering bertukar pemilik baru mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Jasmani berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa pihak bagi memastikan kegiatan itu dapat dihentikan dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pemantauan lesen manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tujuan pemotongan bekalan elektrik dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya memotong talian internet.

Katanya, mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun.

Katanya, kedua-dua premis turut dikenakan dua tindakan kerana beroperasi tanpa lesen dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) (b) Enakmen Hiburan 1993 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau dipenjarakan.

No comments:

Post a Comment