Friday 30 September 2011

Rumah berkembar jadi stor simpan arak



BANDA HILIR - Rahsia sebuah rumah berkembar setingkat di kawasan Pasir Putih, Ipoh, Perak, terbongkar apabila serbuan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Melaka mendapati ia digunakan sebagai stor menyimpan pelbagai minuman keras seludup.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 pagi baru-baru ini, kastam berjaya merampas 19,776 tin bir dan 277 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM68,650.32, dengan :taksiran cukai RM161,655.52.

Selain itu, empat lelaki dalam lingkungan usia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Pengarah Kastam Melaka, Johariah Jantan berkata, siasatan awal terhadap barangan dirampas mendapati ia telah dilekatkan dengan tag setem cukai kastam yang palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, semua arak dengan jenama belum lulus kastam itu dipercayai diseludup untuk diedarkan ke pasaran sekitar Ipoh dan kawasan berhampiran.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1976 dan boleh didenda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai dagangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya kepada media di pejabat Bahagian Penguatkuasaan Kastam Melaka, di sini, kelmarin.

Sementara itu, dalam satu kejadian lain, pihak kastam Melaka turut berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok berikutan rampasan sebuah lori 10 tan sarat dengan 28,520 karton rokok di Kilometer 125 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Pagoh, Johor, Sabtu lepas.

Dalam kes berkenaan, rokok yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM555,984, manakala cukai kastamnya kira-kira RM2.40 juta.

Menurut Johariah, operasi itu adalah susulan kejayaan kastam membanteras penyeludupan rokok baru-baru ini, di mana kumpulan sama dipercayai terbabit dalam kedua-dua kegiatan berkenaan.

Menurutnya, semasa kenderaan pacuan empat roda penguat kuasa kastam cuba memintas lori berkenaan, pemandunya bertindak menghimpit kenderaan kastam dan enggan berhenti walaupun diperintah berbuat demikian.

“Bagaimanapun, selepas mengejarnya hampir 15 minit, pemandu lori berkenaan secara tiba-tiba memberhentikan lorinya dan terjun turun, sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan, dipercayai kenderaan tonto yang mengikut lori terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment