SHAH ALAM: Seorang kontraktor warga India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar 20 kilogram (kg) ketamin disorok dalam tin makanan bayi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap Munuswamy Sudar Raj, 44, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohtarudin pada penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa keterangan tertuduh bahawa dia diupah RM2,000 untuk kerja mudah iaitu membawa masuk 25 tin makanan bayi ke negara ini adalah sesuatu yang amat meragukan.
Selain itu katanya, Munuswamy pada keterangannya memberitahu memasuki Malaysia untuk membeli barangan elektronik tetapi ketika tangkapan, tertuduh hanya membawa wang antara 25,000 Rupee (kira-kira RM1,600) dan 30,000 Rupee (kira-kira RM1, 900).
Tertuduh yang memiliki tiga anak itu didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Kaunter Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan KLIA, pada jam 5.15 petang, 18 Oktober 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Munuswamy dituduh kali pertama pada 24 Oktober 2008 dan Mohtarudin pada keputusan di akhir kes pendakwaan menggunakan kuasanya bagi meminda pertuduhan mengedar itu kepada dakwaan memiliki mengikut Seksyen 12(2) akta sama. Lelaki itu kemudian mengaku salah atas pertuduhan pilihan dan dihukum penjara lima tahun dari tarikh tangkap, hukuman maksimum diperuntukkan mengikut Seksyen 12(3) akta berkenaan.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan pada 20 Julai lalu memerintahkan Munuswamy membela diri atas pertuduhan mengedar di hadapan Mohtarudin.
No comments:
Post a Comment