Friday, 30 September 2011

Bapa teresak-esak di mahkamah



KUALA TERENGGANU - Suasana di dalam kamar Mahkamah Tinggi di sini, semalam tiba-tiba bertukar hiba apabila seorang bapa menangis teresak-esak selepas hukuman gantung sampai mati dijatuhkan terhadap anaknya setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis, tahun lalu.

Lebih memilukan, warga emas itu yang setia menunggu anaknya yang juga merupakan seorang graduan Ijazah Pemasaran dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) sepanjang perbicaraan sebelum ini meluru memeluk anaknya ketika dibawa keluar dari kandang tertuduh sehingga terpaksa ditenangkan anggota polis bertugas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemilikan dadah jenis kanabis seberat 1,317.7 gram ke atas tertuduh, Mohamad Abdul Rahman, 29.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam bela dari Tetuan Ramlan & Co.

Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga kain sutera sebelum ini didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10 pagi, pada 3 Oktober tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Mengikut fakta kes, pada 3 Oktober 2010 kira-kira jam 10 pagi, sepasukan anggota polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam, di sini, dan semasa serbuan, tertuduh didapati berada di dalam rumah berkenaan.

Pada awalnya tertuduh enggan memberi kerjasama selepas diarahkan membuka pintu rumah dan cuba melarikan diri menggunakan pintu dapur belakang rumah tetapi apabila menyedari rumah berkenaan sudah dikepung, akhirnya dia mengalah dan membuka pintu depan seperti mana diarahkan.

Selepas membuat pemeriksaan pada tubuh badan tertuduh, polis gagal menjumpai apa-apa barang salah, tetapi apabila ditanya adakah dia menyimpan dadah, tertuduh menjawab ‘ada’ sebelum memberitahu lokasi dadah itu disimpan iaitu di dalam laci bilik belakang rumah berkenaan.

Hasil maklumat itu, polis menjumpai tiga ketulan pelbagai saiz yang mana ketulan pertama dibalut plastik cerah dan kertas plastik timah dibuka sedikit bungkusannya terdapat tumbuhan kering mampat disyaki dadah.

Ketulan kedua pula dibalut dengan pita pelekat kuning, plastik lutsinar cerah dan bungkusan plastik timah juga di dalamnya terdapat tumbuhan kering mampat disyaki dadah.

Manakala ketulan ketiga dibalut dengan pita pelekat kuning dan plastik lutsinar di dalamnya terdapat tumbuhan kering mampat juga disyaki dadah.

Turut ditemui dalam laci ialah buku polisi dokumen Prudential dan salinan fotostat lesen memandu atas nama tertuduh serta beg duit warna hitam atas meja bersebelahan yang di dalamnya terdapat kad pengenalan tertuduh.

No comments:

Post a Comment