Friday 30 September 2011

Cari kepuasan cara salah



KUANTAN - Tempoh hidup 10 tahun yang bakal dilaluinya di sebalik tirai bebas akibat kesalahan dadah, cukup memberi 1001 satu pengajaran kepada penghuni tembok besi ini.

Kini hidupnya semakin tenang menjalani kehidupan di tirai besi setelah tiga tahun bergelar banduan di Penjara Penor.

Kesalahan yang ditanggungnya menyebabkan dia terpisah dengan dunia luar dan menghabiskan rutin harian dengan dengan melakukan pelbagai aktiviti berfaedah seperti bercucuk tanam, membaiki kereta, menternak ikan dan sebagainya.

Akibat mencari kepuasan dalam hidup, banduan yang dikenali sebagai Bob, 27, menerima hukuman 10 tahun di bawah Sesyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya bermula 2009 hingga 2015 yang akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

“ Walaupun ini bukan kali pertama menjalani hukuman di penjara namun setiap kali Ramadan menjelma hati akan berasa sayu kerana berjauhan dengan keluarga.

Namun sambutan Aidilfitri kali ini berbeza kerana pihak penjara mengadakan aktiviti mengacau dodol bersama banduan yang lain,” katanya di Program Mengacau Dodol Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Banduan Penor di Pekarangan Bengkel Zon Dua.

Anak kelahiran Panching ini ingin memulakan fasa hidup baru setelah keluar daripada penjara nanti dengan kemahiran yang dipelajari di penjara.

“Setiap kali musim perayaan, ibu dan bapa akan melawat saya dan bertanya khabar tentang keadaan kehidupan di penjara.

“Yang paling menyedihkan setiap kali takbir raya dialunkan saya akan menangis mengenangkan suasana beraya bersama keluarga semasa meraikan 1 Syawal,” kata anak sulung daripada tiga orang beradik ini.

Tambahnya, apa yang berlaku dalam hidupnya biarlah menjadi sebahagian daripada coretan hitam dan akan memandang ke depan bila dibebaskan nanti.

Menurut Penolong Komisioner Penjara (PKP), Abu Hasan Hussain berkata program seperti ini adalah untuk mengurangkan stres dalam kalangan banduan terutamanya mereka yang Muslim sempena hari raya.

“Objektif kami adalah untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan dan banduan yang mengambil bahagian dalam mengacau dodol pada kali ini.

“Ia juga untuk mendedahkan kepada masyarakat bahawa terdapat pelbagai program pemulihan dan kemahiran yang disediakan agar mereka tidak mensia-siakan masa begitu sahaja,” katanya.

Seramai 36 orang banduan terlibat dalam program ini yang terdiri daripada pelbagai kaum berkongsi pengalaman mengacau dodol kerana ada di antara mereka pertama kali mencubanya dan dodol akan diagihkan kepada semua banduan tanpa mengira bangsa dan agama.

No comments:

Post a Comment