Friday, 30 September 2011

Rumah pusaka hangus gara-gara ubat nyamuk



KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga reda setelah rumah pusaka mereka musnah dalam satu kebakaran di kampung Banggol Nyamuk, Tepoh, di sini, pagi semalam.

Menurut mangsa, Wan Munah Ibrahim, 29, dia hanya menyedari rumah pusakanya itu terbakar setelah pulang dari menoreh getah iaitu kira-kira jam 11 pagi.

“Sejurus tiba di hadapan rumah, saya terkejut setelah mendapati rumah pusaka peninggalan orang tua sudah hangus dan ketika itu terdapat kira-kira enam penduduk kampung bertungkus-lumus memadamkan api bagi mengelak ia merebak ke rumah berhampiran.

“Walaupun kami sekeluarga sudah tidak mendiami rumah pusaka ini lagi sejak menerima rumah baru di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun kehilangannya memberi kesan mendalam kepada kami kerana rumah itu banyak berjasa sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Abdul Razak Abidin berkata, sebanyak tiga buah jentera bersama 14 anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan dan punca kejadian dipercayai disebabkan ubat nyamuk.

Menurutnya, semasa tiba, rumah sementara kekal itu sudah musnah sama sekali dan kerugian ditafsirkan RM8,000.

No comments:

Post a Comment