Friday, 30 September 2011

Murray lambat laporkan keadaan tenat Michael Jackson



TIMBALAN Peguam Daerah, David Walgren memegang botol propofol ketika menyoal Alvarez.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Pihak pendakwa raya memanggil beberapa saksi utama kelmarin dalam usaha membuktikan bahawa doktor peribadi Michael Jackson, Dr. Conrad Murray melambat-lambatkan panggilan telefon untuk menghubungi pihak berkuasa, selain berniat menutup tanda-tanda dia memberikan ubat pelali propofol kepada penyanyi berkenaan.
Ketika perbicaraan Murray kerana membunuh tanpa niat masuk hari ketiga kelmarin, keterangan tertumpu kepada peristiwa yang berlaku di bilik tidur Jackson semasa usaha-usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawa bintang pop itu.
Terdahulu, panel juri telah melihat ruang dalam bilik terbabit menerusi gambar-gambar dan mendengar beberapa keterangan mengenainya.
Mereka juga dijadual mendengar keterangan daripada pengawal peribadi Jackson, Alberto Alvarez. Alvarez merupakan individu pertama yang tiba di bilik itu selepas dia dipanggil untuk membantu Murray.
Dalam keterangan pada perbicaraan awal pada awal tahun ini, Alvarez berkata Murray mengarahkannya supaya membuang pelbagai ubatan dan beg IV yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan ubat pelali ke dalam tubuh Jackson sebelum dia menghubungi perkhidmatan kecemasan.
"Jackson kelihatan sudah mati dengan mata terbeliak dan mulutnya terbuka pada ketika itu," kata Alvarez.
Keterangan pengawal peribadi itu penting untuk pendakwa membuktikan bahawa Murray sengaja berlengah untuk menghubungi pihak berkuasa dengan tujuan menyembunyikan bukti bahawa dia telah memberikan ubat pelali kuat kepada Michael.
Ubat pelali propofol hanya dibenarkan untuk kegunaan klinik dan hospital di AS.
Keterangan Alvarez akan dicabar oleh pasukan peguam bela Murray. Pada Rabu lepas, mereka menyoal ketua pengawal keselamatan Jackson dan pembantu peribadi penyanyi itu mengenai kenapa mereka hanya mendedahkan beberapa butiran terperinci mengenai kematian Jackson itu kepada polis hanya selepas dua bulan.
Jackson meninggal dunia selepas mengalami kegagalan jantung pada usia 50 tahun di rumah sewanya di sini, dipercayai akibat pengambilan propofol secara berlebihan.
Murray ditahan beberapa minggu kemudian kerana disyaki cuai dalam memberikan ubat pelali kuat propofol sehingga menyebabkan kematiannya.
Kes itu mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi Los Angeles di sini pada minggu ini. Murray, 58, sebelum ini mendakwa bahawa Jackson sendiri yang mengambil dos propofol secara berlebihan. Doktor peribadi itu boleh dipenjara hingga empat tahun jika pihak juri mendapati dia bersalah dalam kes tersebut. - AP

No comments:

Post a Comment