KLANG: Gara-gara mabuk, seorang lelaki berusia 23 tahun bertindak memukul kepala jiran yang juga rakan sekerjanya dengan kayu golf hingga mati akibat perselisihan faham di rumah suspek di Taman Saujana di sini, kelmarin.
Dalam kejadian antara jam 11 pagi hingga 2 petang itu, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori kemudiannya dikatakan mengalihkan mayat mangsa ke tepi longkang di kawasan padang permainan berhampiran rumahnya dipercayai bagi mengaburi mata polis.
Mayat mangsa, M Kalikaundar, 41, seorang kelindan lori ditemui orang ramai pada jam 5.14 petang sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof berkata, bertindak atas aduan dan hasil siasatan pihaknya memberkas suspek dua jam selepas itu dan menemui beberapa bahan bukti di rumahnya.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis menemui kepala kayu golf yang sudah patah, kayu, baju serta seluar dengan kesan darah,” katanya.
Menurut Mohamad, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa tompokan darah di ruang tamu, tangga dan bilik utama.
Katanya, suspek kemudian diberkas dan direman bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment