Friday 30 September 2011

Warga asing tembak seorang buruh diburu



KOTA BHARU 30 Sept. - Polis memburu seorang lelaki warga asing yang dipercayai menembak seorang lelaki di sebuah kilang papan, di Telekong, Kuala Krai dekat sini lewat petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang, suspek dikenali sebagai Adnan yang dipercayai pengedar pil kuda pergi ke tempat kerja mangsa untuk mengutip hutang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, berlaku pertengkaran sebelum mangsa menumbuk suspek.
"Selepas pergaduhan itu suspek pulang ke rumahnya tetapi kerana tidak puas hati, dia datang semula ke kilang itu sejam kemudian dengan membawa pistol.
"Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan tetapi mangsa bernasib baik kerana hanya terkena paha kanannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Jom Cegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Jalaluddin berkata, polis juga menjumpai kelongsong peluru yang digunakan untuk menembak mangsa di tempat kejadian.
"Dia kini menerima rawatan di Hospital Kuala Krai dan dilaporkan stabil. Polis kini sudah mengenal pasti keluarga suspek dan meminta supaya suspek menyerahkan diri.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut dan mengetahui tentang suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan.

No comments:

Post a Comment