Friday 30 September 2011

SPRM terima 600 aduan rasuah





ALOR SETAR 30 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Kedah menerima 600 laporan daripada pelbagai pihak mengenai dakwaan rasuah sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Mohamad Yusoff Akope memberitahu, daripada jumlah itu, hanya 339 atau 56 peratus daripada aduan tersebut didapati terdapat unsur rasuah manakala selebihnya melibatkan kesalahan dalaman pihak tertentu.
"Kes berkaitan jabatan tertentu yang melibatkan kesalahan dalaman, memerlukan tindakan wajar daripada ketua jabatan.
"Pihak kami berharap ketua jabatan dapat memberi perhatian terhadap kesalahan dan tohmahan yang diserahkan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat dan kecekapan jabatan itu sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis gerak mesra Hari Raya Aidilfitri SPRM negeri di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya telah menahan 12 individu yang melibatkan rasuah berjumlah RM92,506 dan telah membuka 26 kertas siasatan melibatkan kes yang mempunyai unsur rasuah.
"Dua tangkapan melibatkan golongan profesional dan pengurusan manakala masing-masing lima tangkapan membabitkan kakitangan kerajaan bahagian sokongan serta orang awam dan pekerja swasta.
"Salah satu tangkapan adalah kesalahan di bawah Seksyen 17B Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 melibatkan aduan daripada penjawat awam cubaan rasuah daripada orang awam," katanya.
Mohamad Yusoff berkata, kes yang didakwa di mahkamah pula melibatkan 10 individu membabitkan 14 pertuduhan.
"Ia melibatkan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 17B, empat pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan masing-masing satu kes di bawah Seksyen 16A dan 17A kerana menerima dan memberi rasuah," katanya.
Jelasnya, bagi keputusan pula terdapat 19 keputusan di mahkamah dengan 12 kes memihak kepada SPRM masing-masing enam menang kes dan tertuduh mengaku salah.
''Enam keputusan lagi dilepas dan dibebaskan tanpa bela diri manakala satu keputusan dilepas dan dibebaskan selepas bela diri," katanya.

No comments:

Post a Comment