Friday, 30 September 2011

Waris masih tidak puas hati



BALING - Waris kepada salah seorang murid yang mendakwa tidak mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Norziah Watif, 42, tidak berpuas hati apabila guru besar sekolah terbabit memberi tekanan psikologi kepada murid-muridnya.

Menurutnya, salah seorang murid di sekolah itu mendakwa, guru sekolah berkenaan mengarahkan murid-muridnya mengaku bahawa lima murid terbabit tidak dihalang mengambil peperiksaan sebaliknya ketidakhadiran mereka adalah kerana diri mereka sendiri.

“Guru besar itu bertindak sedemikian apabila menerima lawatan daripada Pegawai Pelajaran Kedah di sekolah terbabit, semalam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, pihaknya telah menghantar laporan penuh kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur.

“Kita sudah jalankan siasatan dan perkara ini telah diselesaikan dengan cara baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai guru besar yang cuba memberi tekanan psikologi kepada murid-murid sekolah berkenaan, Mansor berkata, dia tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu.

“Apa yang waris dakwa, itu hak mereka, kita dah jalankan siasatan dan tindakan akan diambil dengan sewajarnya.

“Namun, apa yang saya nampak, pihak sekolah tidak menghalang lima murid terbabit daripada menduduki UPSR, kemungkinan berlaku salah faham antara guru dan murid,” katanya.

Menurutnya, status mengenai lima murid terbabit bergantung kepada kementerian.

“Saya tak dapat jelaskan apa-apa di sini, sekiranya kementerian mengarahkan murid terbabit menduduki peperiksaan, kita akan teruskan,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan lima murid di sebuah sekolah di daerah ini tidak dibenarkan mengambil UPSR untuk menjaga prestasi sekolah itu.

Tindakan guru besar sekolah terbabit mendapat bantahan waris murid kerana akan merosakkan masa depan anak mereka.

No comments:

Post a Comment