Friday 30 September 2011

Samun: Anak Datuk Bandar dibebaskan



30/09/2011 4:37pm

PETALING JAYA - Anak Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan dua rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menyamun seorang pemilik Cybercafe, tahun lepas.
Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penuntut kolej Mohd. Radzak Razali, 22, pemandu peribadi Zulhelmi Mohammad, 23, serta Mohd. Khairul Amir Mohamad Roslan, 23, penuntut kolej yang juga anak kepada Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.
Rozina dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil pengadu dan mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah sebaliknya pihak pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan daripada pegawai polis.
"Selain itu pengecaman terhadap tertuduh pertama (Mohd. Radzak) dan kedua (Zulhelmi) semasa kawad cam juga diragui kerana berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan kelima iaitu pegawai penyiasat Inspektor Zaini Mohamad Piah bahawa tangkapan yang dibuat ke atas kedua-dua tertuduh adalah berdasarkan pengecaman orang awam ke atas kereta dan pengecaman tersebut tidak dibuat berdasarkan individu yang ada di dalam kereta itu,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment