Friday, 30 September 2011

Polis 'palsu' menyamun ditahan






SUPRITENDAN Wooi Kooi Cheang (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan gari serta pelbagai barangan samun pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis Tampin, Negeri Sembilan semalam.


TAMPIN 30 Sept. - Tiga lelaki termasuk dua beradik ditahan selepas didapati menyamar sebagai polis untuk menyamun mangsa dalam serbuan di sebuah rumah di Putrajaya, Isnin lalu.
Kesemua suspek berusia 31 hingga 45 tahun dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di beberapa buah negeri sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheang berkata, serbuan dilakukan oleh anggota dari Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Tampin dan IPD Putrajaya, ekoran dua laporan polis dibuat mangsa.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa mendakwa disamun seorang anggota 'polis' di sebuah bilik hotel di sini, minggu lalu.
Jelas beliau, lelaki tersebut yang memakai topi dengan logo polis, memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil menunjukkan gari.
"Berikutan laporan itu, kita menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes dan mengenal pasti suspek terlibat berdasarkan lakaran fotofit.
"Hasil dari penyiasatan yang dilakukan, akhirnya kita mengesan suspek dan seterusnya melakukan tangkapan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Ujarnya, hasil tangkapan itu pihaknya menemui sebanyak 65 buah telefon bimbit, lima komputer riba, kamera, sejumlah wang tunai, gari, walkie talkie dan barangan berharga lain dipercayai hasil samun.
"Hasil soal siasat kita kita juga mendapati ketiga-tiga suspek terlibat dalam tujuh lagi kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis di Port Dickson, dekat sini, Grik di Perak dan di Alor Setar, Kedah pada Ogos dan September.
"Semua suspek yang tidak bekerja ini mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," jelasnya.
Menurutnya, semua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak.

No comments:

Post a Comment