Friday 30 September 2011

Rogol pelajar meringkuk 8 tahun



KOTA BHARU – Seorang bekas anggota tentera dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol pelajar tingkatan dua di dalam sebuah kereta dan di sebuah bangsal di Bachok, tiga tahun lalu.

Hakim Wan Fadilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu terhadap Mohd Hafizi Abdul Talib, 23, dan memerintahkan hukuman berkuat kuasa, semalam.

Wan Fadilah pada penghakimannya berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafizi didakwa merogol mangsa dalam sebuah kereta di Kampung Mujur, Jelawat, pada 1 Februari 2008 manakala pertuduhan kedua mendakwa tertuduh merogol mangsa sama di sebuah bangsal di Kampung Aman keesokan harinya.

Berdasarkan pertuduhan itu lagi, kejadian pertama berlaku antara jam 3 dan 4 pagi sementara kejadian kedua didakwa berlaku antara jam 12 tengah malam dan dua pagi pada 2 Februari 2008.

Bagi tiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam, Rosmizan Sulaiman.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya.

Menurutnya, tiada bukti menunjukkan bahawa kecederaan dialami oleh mangsa.

Ahmad Salam bagaimanapun menegaskan sebaliknya ada keterangan mengatakan terdapatnya unsur paksaan apabila mangsa menolak daripada diajak melakukan hubungan terlarang itu.

“Saya memohon satu hukuman yang serius berbentuk pengajaran terhadap tertuduh berikutan kes-kes rogol antara kesalahan jenayah paling tinggi berlaku di negeri ini.

“Jenayah tetap jenayah. Hukuman yang setimpal patut diberikan kepada tertuduh,” katanya.

No comments:

Post a Comment