Friday 30 September 2011

Dua sahabat bebas tuduhan edar dadah



ALOR SETAR - Dua sahabat warga Thailand dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini semalam daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis kanabis lima tahun lalu.

Hakim, Datuk Zakiah Kassim membuat keputusan itu setelah mendapati tiada prima facie kerana gagal menunjukkan bahawa kereta dinaiki kedua-dua tertuduh mempunyai ruangan khas menyimpan dadah berkenaan.

Zakiah berkata, pihak pendakwa turut gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai milikan ke atas dadah dan tanpa sebarang bukti milikan, kes pengedaran dadah tidak dapat dibuktikan.

Bueraheng Hawae, 40, peniaga pasar malam dan Mahamat samueri Useng, 32, pemandu pelancong dari Narathiwat, Thailand sebelum ini dituduh melakukan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 69,512 gram di Kilometer 9, Kampung Lembah Palas, Changlun, Kedah sekitar jam 7.30 malam pada 27 April 2006.

Dakwaan terhadap mereka dikenakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Menurutnya, kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Sepanjang prosiding mahkamah dijalankan, pihak pendakwaan menampilkan enam saksi.

Beberapa ahli keluarga tertuduh yang turut sama hadir mendengar keputusan turut menangis sebaik menerima keputusan berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud. 

No comments:

Post a Comment