SEREMBAN 30 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan dua percubaan menyeludup dadah ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, dekat sini semalam.
Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, dalam percubaan pertama JKDM berjaya membongkar taktik menyeludup dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM2.5 juta melalui sebuah syarikat penghantaran cepat antarabangsa di KLIA.
Jelas beliau, dadah tersebut ditemui dalam sebuah kotak yang diisytiharkan sebagai teh hijau yang dikirim oleh seorang individu di Hong Kong untuk dihantar ke sebuah syarikat di negara ini.
"Berdasarkan kepada hasil pemeriksaan terhadap kotak itu, kita menemui tujuh bungkusan yang di dalamnya terdapat 11 peket berwarna perak mengandungi 50,000 pil dipercayai ekstasi," katanya di sini hari ini.
Liah turut memberitahu, pihaknya sedang mengesan syarikat terbabit untuk mengetahui pembabitan mereka dalam sindiket terbabit.
Sementara itu dalam kes kedua pula, JKDM berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan di LCCT kerana cuba menyeludup masuk dadah jenis ketamin dalam bungkusan makanan bijirin yang disimpan dalam bagasi masing-masing.
Liah berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu baru tiba dari Jakarta, Indonesia itu ditahan selepas hasil imbasan mendapati ada objek mencurigakan dalam tiga bagasi yang dibawa mereka.
"Hasil pemeriksaan pihak kami mendapati kesemua bungkusan bijirin itu mengandungi 30 bungkusan lut sinar yang dipercayai dadah jenis ketamin seberat 30 kilogram.
"Kita percaya dadah yang dianggarkan bernilai RM330,000 itu dibawa masuk untuk pasaran di negara ini," jelasnya.
Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
No comments:
Post a Comment