Friday, 30 September 2011

Dua dituduh bunuh nenek



BENTONG – Seramai dua daripada empat suspek kes pembunuhan warga emas, K Kaliammal, 66, di Taman Bumi Cemerlang, dekat sini, 13 September lalu dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Tertuduh terbabit, S Samdaran, 33 dan M Ravindran, 26 yang mana kedua-duanya dari Bera kini dihantar ke Penjara Penor untuk menunggu tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor berkata, manakala dua lagi suspek dibebaskan dan diminta menjadi saksi polis untuk kes itu.

Menurutnya, sebelum ini, keempat-empat mereka ditahan pada 16 September lalu dan direman sehingga 28 September 2011.

“Dalam kejadian yang berlaku, kedua-dua tertuduh dipercayai masuk dan menggeledah rumah mangsa sebelum mengikat tangan, kaki serta menutup mulut mangsa dengan kain.

“Manakala dua lagi suspek dipercayai menunggu di luar rumah sebelum keempat-empatnya melarikan diri,” katanya.

Dalam kejadian 13 September itu, mayat mangsa ditemui pekerjanya dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta mulut ditutup dengan kain di sebuah bilik di bahagian dapur dalam keadaan terbaring.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa dipercayai lemas akibat hidung dan mulutnya ditutup dengan kain. Mangsa merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai lima anak dan menguruskan sebuah kedai runcit dekat sini.

No comments:

Post a Comment