SEGAMAT: “Selepas letupan, api terus menjulang menjadikan sekitar terminal seperti medan perang,” kata seorang peniaga Terminal Bas Segamat di sini ketika menceritakan kebakaran di situ yang memusnahkan lima gerai makan serta empat kaunter tiket di tingkat satu, semalam.
Peniaga gerai makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Gayah, 57, itu berkata kejadian jam 10.40 pagi dengan satu letupan kuat menggegarkan terminal bas berkenaan.
“Ketika memasak di gerai, saya dengar peniaga gerai makanan berhampiran menghidupkan gas memasak sebelum satu letupan kuat berlaku.
“Api terus menjulang lantas menyambar siling bangunan menyebabkan semua peniaga dan pelanggan bertempiaran melarikan diri,” katanya.
Menurut Gayah, ketika berlari turun, dia turut mendengar beberapa lagi letupan kuat dan mendapati ruang makan dan kaunter tiket di terminal itu sedang terbakar.
“Walaupun rugi ribuan ringgit, saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, bagi Alias Abas, 41, yang melecur tangan kirinya akibat letupan, dia turut bersyukur kerana hanya mengalami edera ringan.
“Semuanya berpunca daripada tong gas memasak di gerai saya, ketika kejadian saya menggunakan tiga dapur dan empat gas memasak.
“Saya mencabut satu daripada kepala gas memasak sebelum mendapati gas mula menyembur keluar,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Jalan Muar.
Menurut Alias, api tiba-tiba menyambar tong gas berkenaan dan dia cuba mengangkatnya untuk dibaling keluar, namun tong gas itu meletup sebelum dia sempat melakukannya.
“Api menyambar tiga lagi tong gas dan berlaku beberapa letupan sebelum api menyambar siling,” katanya yang berniaga di terminal bas itu sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Razak Saibon, 55, berkata, tempat kejadian kira-kira 50 meter dari premis bomba membolehkan pihaknya cepat tiba dan seterusnya mengawal api dengan pantas.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.41 pagi dan 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran dikawal dalam masa kurang 20 minit. Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada kebocoran tong gas memasak yang meletup dan menyambar premis berhampiran,” katanya.
Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat, Ismail Abu berkata, pihaknya akan berbincang mencari penempatan lain bagi peniaga yang terbabit dalam kebakaran itu.
“Kami harap peniaga bersabar malah berhati-hati ketika memeriksa premis masing-masing yang terbakar,” katanya.
Menurut Ismail, terminal bas itu mula beroperasi pada 2001 dan menempatkan 72 lot gerai dengan kadar sewa RM135 sebulan.
No comments:
Post a Comment