Friday, 30 September 2011

ANAK buat laporan SPRM mengenai pinjaman RM6 bilion





2011/09/30

PUTRAJAYA: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat pinjaman RM6 bilion yang dibuat FELDA daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Presidennya, Mazlan Aliman mendakwa warga FELDA bimbang serta ingin tahu sama ada wang pinjaman itu sudah dibelanjakan keseluruhannya serta ke mana pinjaman RM6 bilion itu dibelanjakan.
"Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberi jawapan ringkas di Parlimen mengenai isu ini, tetapi tidak menyatakan dengan jelas bila pinjaman itu dibuat, ke mana wang itu disalurkan dan apakah terma berkaitan soal perjanjian dengan KWSP mengenai cara bayaran balik," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan laporan itu di pejabat SPRM di sini hari ini.
Pada Jun lalu, Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata langkah FELDA membuat pinjaman itu membuktikan ia berada pada landasan yang kukuh berikutan keyakinan KWSP dengan keupayaannya untuk membayar balik pinjaman serta meminta perkara itu tidak diperbesarkan kerana ia adalah satu transaksi yang biasa dibuat dalam setiap perniagaan. 

Selain itu, Mazlan turut membuat laporan kepada SPRM berhubung beberapa keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA bulan lalu yang didakwa tanpa kehadiran Pengarah Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab, antaranya keputusan mencagar keseluruhan tanah FELDA Plantation kepada kumpulan pelaburannya, FELDA Global Ventures serta pelantikan Isa sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Bhd. 

Kedua-dua laporan itu diterima Penolong Pesuruhjaya SPRM, Fikri Ab Rahim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment