Thursday 6 October 2011

130 ditahan dalam Ops Tapis



BUKIT BERUANG - Seramai 130 suspek, termasuk sembilan wanita ditahan dalam beberapa siri operasi Ops Tapis di tiga kawasan di negeri ini, bertujuan mengekang gejala penagihan dadah.

Tiga lokasi terbabit adalah ladang kelapa sawit di belakang Penjara Sungai Udang, sebuah banglo dalam kawasan resort di Alor Gajah dan Jalan Tangki Air, Paya Rumput.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, daripada 121 lelaki yang ditahan dalam siri operasi berkenaan, 50 masih lagi ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, sebahagian besar daripada mereka yang ditahan telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan.

“Sembilan daripada mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, 10 ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 6 (langkah-langkah pencegahan khas), empat di bawah Seksyen 15(1)(a) dan 12 ditahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Negeri di sini, semalam.

Menurut Ghee Lye, operasi di ladang kelapa sawit di belakang Penjara Sungai Udang berjaya merampas 3.1 gram heroin, sementara 1.0 gram syabu dan 10.6 gram ganja dirampas di resort terbabit.

“Serbuan pertama di Jalan Tangki Air, Paya Rumput bulan lalu menghasilkan rampasan 75.35 gram heroin, manakala dalam serbuan kedua pada 30 September, sebanyak 3.15 gram heroin lagi dirampas,” katanya.

No comments:

Post a Comment