Thursday, 6 October 2011
Remaja diperintah berkelakuan baik
IPOH - Cubaan mencuri dengan mengumpil pintu sebuah kereta yang diletakkan di Padang rekreasi tahun lalu, menyebabkan seorang remaja dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan bon cagaran RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohamad Rizal Mohamed Taib, 20, berdasarkan peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah seperti yang disyorkan oleh peguamnya, Ranjit Singh Sandhu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan tersebut, Mohd Rizal mengaku cuba mencuri barang dan peralatan di dalam kereta jenis Kia Sonata milik Low Tat Yee, 57, di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz, pada jam 6.45 pagi, 10 Mei 2010.
Sementara itu di mahkamah sama, dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret bersama dua lagi rakan mereka apabila dituduh memiliki 0.8 gram heroin, Rabu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh pertama, T Suresh, 36, mengaku memiliki dadah berkenaan dan merayu kepada mahkamah untuk melepaskan abangnya, T Ramesh, 37 dan rakannya, P Manokaran, 57, dan S Jeyaraj, 36, yang masing-masing mengaku tidak bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir menawarkan wang jaminan berjumlah RM3,500 namun, Intan Nurul Farena menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,500 serta kes disebut semula pada 28 Oktober depan untuk laporan kimia.
Labels:
curi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment