Thursday 6 October 2011

7 ditahan bantu siasat kes bunuh



SHAH ALAM 6 Okt. - Tujuh lelaki termasuk seorang pengusaha bas dan anaknya yang berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan pasangan suami isteri penoreh getah di kawasan dusun durian, Batu 30, Ulu Yam Lama, Hulu Selangor, dekat sini, 28 September lalu.
Kesemua suspek ditahan dalam satu operasi khas di sekitar Batang Kali dan Kampung Rasa, Hulu Selangor pada 30 September dan Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, operasi pada 30 September lalu melibatkan tangkapan lima lelaki berusia 16 hingga 44 tahun termasuk pengusaha bas dan anaknya.
Beliau berkata, operasi kedua pada 3 Oktober pula berjaya menahan dua lagi suspek berusia 25 dan 31 tahun
"Susulan penahanan kesemua suspek yang tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah, polis menemui dua bilah parang yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu di dalam Sungai Rasa pukul 7.20 petang semalam.
"Kita juga percaya pembunuhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek," kata beliau kepada pemberita di pusat media Polis Selangor di sini hari ini.
Tambah Thaiveegan, dengan tertangkapnya kesemua suspek, pihaknya percaya kes pembunuhan tersebut telah selesai dan pihaknya juga akan menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat pendakwa raya dalam tempoh terdekat.
Pada 28 September lalu, pasangan suami isteri berketurunan India berusia 56 dan 51 tahun itu ditemui dibunuh dengan kesan tetakan di muka, kepala dan kedua-dua tangan di kawasan dusun durian, Batu 30, Ulu Yam Lama yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah pasangan itu.

No comments:

Post a Comment