Thursday 6 October 2011

Jelapang padi Asia terjejas





2011/10/07

SEORANG lelaki Kemboja meredah banjir yang menenggelamkan sawah padi di Pea Reang di wilayah Prey Veng.
SEORANG lelaki Kemboja meredah banjir yang menenggelamkan sawah padi di Pea Reang di wilayah Prey Veng.
Banjir terburuk tenggelami 1.5 juta hektar sawah lima negara 

HANOI: Banjir besar melanda Asia dilaporkan menjejaskan jelapang padi di rantau berkenaan hingga boleh menyebabkan harga makanan meningkat sekali gus menambah beban petani yang kebanyakannya dibelenggu kemiskinan.
Kira-kira 1.5 juta hektar kawasan penanaman padi di Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos dan Pakistan terjejas teruk dan berisiko musnah akibat banjir terburuk yang melanda kali ini.
Di Thailand, pengeksport beras terbesar dunia, 237 penduduk dilaporkan maut dalam banjir dengan satu juta hektar sawah padi atau 10 peratus kawasan penanaman musnah. 

Musim hujan di Laos dan Kemboja juga menyebabkan kerugian besar sejak beberapa minggu ini dan pakar berkata, banjir kini memasuki Lembah Mekong di Vietnam, pengeluar beras utama global. 

Ribut tropika yang melanda Laos sejak Jun membunuh sekurang-kurangnya 23 orang di negara itu dan merosakkan lebih 60,000 hektar padi, kata laporan terbabit. 

Jauh ke barat, banjir di kawasan penanaman padi dan kawasan penanaman lain di Pakistan menyebabkan kerugian di negara itu dicatatkan hampir AS$2 bilion (RM6.1 bilion). 
“Keseluruhan rantau ini akan mengalami kenaikan harga beras kerana banyak kawasan tanaman musnah. Kemusnahan tahun ini amat serius dan ia akan mengambil masa sebelum penduduk dapat meneruskan kehidupan biasa,” kata Margareta Wahlstrom, ketua pengurangan bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan. 

Kerugian akibat banjir menjadi kebimbangan utama memberi kesan beras global berikutan skim baru diperkenalkan kerajaan Thailand untuk meningkatkan harga minimum untuk petani bagi hasil tanaman mereka. – AFP

No comments:

Post a Comment