Thursday, 6 October 2011

Derita serangan kutu beras




MOHD. TAHIR menunjukkan kutu beras yang menyerang penduduk di Pasir Gudang semalam.


PASIR GUDANG - Lebih 5,000 penduduk yang tinggal berhampiran gudang beras Padi Beras Nasional (Bernas) di Jalan Gangsa di sini tertekan dengan gangguan dan serangan kutu beras sejak awal tahun ini.
Lebih merimaskan, kutu beras tersebut turut memasuki bilik tidur penghuni termasuk di Perjiranan 10 dan Flat Malaysia Marine and Heavy Engineering (MMHE).
Seorang penduduk, Ainon Endud, 65, berkata, setiap hari lebih 100 ekor kutu beras muncul di rumahnya terutama pada awal pagi dan lewat petang.
"Kutu beras berada atas lantai, katil, dinding, dapur, dalam makanan, bekas minuman dan di mana-mana sahaja sehingga kami buntu dan tidak tahu apa hendak dibuat untuk mengatasinya.
"Setiap hari saya terpaksa menyapu dan mengutip kutu beras ini tetapi masalah ini masih berterusan," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Dakwanya, masalah itu pernah diajukan beberapa kali kepada pihak Bernas dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
Mohd. Tahir Ibrahim, 59, pula memberitahu, serangga itu bukan sahaja memenuhi ruang rumahnya malah turut merayap dan menggigit badannya sehingga menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan.
"Bagi yang alah, gigitannya boleh menyebabkan kulit bermasalah berminggu-minggu lamanya.
"Kutu beras juga masuk ke telinga dan hidung kanak-kanak pada malam hari," terangnya lagi.
Shari Basir, 41, berkata, kutu beras biasanya terdapat di bawah bantal dan tilam dalam jumlah yang banyak.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat tidur dengan nyenyak dan berharap tindakan segera diambil oleh pihak terbabit.
Dalam pada itu, Yang Dipertua MPPG, On Jabbar @ Jaffar berkata, pihak Bernas telah mengambil tindakan termasuk memusnahkan semua palet di gudang itu yang dikatakan menjadi punca utama pembiakan kutu beras.
"Langkah ini akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana perlu mengalihkan beras yang berjumlah 32,000 metrik tan.
"Selain itu, Bernas akan memasang jaring dan melakukan proses asapan atau melepaskan gas untuk membunuh kutu-kutu beras," katanya selepas melawat gudang beras Bernas berkenaan.

No comments:

Post a Comment