Thursday 6 October 2011

Suspek utama kes bunuh diberkas, 2 lagi masih diburu





2011/10/06

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya memberkas suspek utama dalam pergaduhan menyebabkan kematian seorang lelaki di Kampung Batangan, Marang pada 16 September lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K Manoharan, berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 petang Selasa lalu di hadapan sebuah kedai runcit di Flat Sri Kolam, di sini.
Katanya, kejayaan menahan suspek itu berikutan edaran gambar suspek oleh pihak media.
"Suspek kini ditahan reman selama seminggu bagi siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini. 

Manoharan berkata, berikutan itu seorang remaja berusia 17 tahun datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Marang dan beliau dipercayai berada di tempat kejadian semasa pergaduhan itu. 

Beliau berkata, dengan maklumat daripada remaja berkenaan pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan dan dapat membantu mengesan dua lagi suspek utama yang masih bebas. 

Dalam kejadian 16 September itu, mangsa Hassan Harun, 37, bersama dua rakannya telah pergi ke Kilang Bata, Kampung Batangan, Marang di sini untuk bertemu dengan suspek bagi membincangkan perkara berkaitan hutang. 
Bagaimanapun, apabila memasuki sebuah pondok pengawal kilang di situ, berlaku pergaduhan dengan empat orang rakan suspek yang berada dalam pondok tersebut. 

Mangsa yang cedera dipukul dengan sebatang besi dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini oleh rakannya namun meninggal dunia pada 27 September lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment