Thursday, 6 October 2011

Gembira bertukar duka



MATANG – Kegembiraan seorang bapa saudara menghadiri majlis akad nikah anak saudaranya menjadi duka apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di Pahang.

Mangsa kemalangan, Yusof Jamaludin, 46, mengalami patah tulang rusuk akibat kemalangan membabitkan kereta Perodua Kancil yang dinaiki bersama anak saudaranya bertembung dengan kereta Proton Gen 2.

Yusof berkata, selepas pertembungan itu, dia tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Universiti Kebang-saan Malaysia (HUKM) untuk rawatan selanjutnya.

Menurutnya, selepas tinggal di sana selama 13 hari, barulah dia pulang ke rumah dan dijaga keluarga.

“Bagaimanapun, dengan keadaan sekarang, saya hanya terlantar dan agak sukar untuk bangun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Changkat Baru Matang, semalam.

Sementara itu, anak saudaranya yang juga pengantin, Mohd Sharfizie berkata, dia juga tidak menyangka kejadian itu akan berlaku ke atas dirinya dan bapa saudaranya selepas meraikan hari bahagia.

Katanya, kereta yang dipandunya cuba untuk memotong manakala kereta di bahagian hadapan juga ingin memotong, bagaimanapun kedua-duanya tidak lepas menyebabkan mereka bertembung sesama sendiri.

“Lutut saya berlubang, peha pula lari, gigi terpaksa diletakkan besi manakala pemandu kereta Gen 2 itu hanya dirawat sebagai pesakit luar.

“Jika dilihat pada keadaan kereta kami sudah tentu orang mengandaikan hal yang sebaliknya, namun saya bersyukur kerana ALLAH memberikan kami peluang untuk meneruskan kehidupan ini,” katanya.

Sementara itu, keadaan kedua mereka mendapat perhatian, Adun Trong merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin yang turut memberikan sumbangan berupa bantuan keperluan dapur dalam program JASA Prihatin malam kelmarin.

Hadir sama, Pegawai JASA Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Kamaruddin Abu Bakar.

No comments:

Post a Comment