Thursday, 6 October 2011

Warga emas maut



BUKIT KENAK - Seorang wanita warga emas maut selepas motosikal yang diboncengnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan pasar malam Kampung Bukit Kenak Jalan Jertih-Kuala Terengganu, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa, Minah Che Nik, 69, maut di tempat kejadian selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada kepala selepas tercampak beberapa meter sebaik dirempuh manakala anaknya, Mohd Norizan Abd Rahman, 23, yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan juga di kepala.

Menurutnya, sebelum kejadian motosikal itu dari arah Jertih dan sebaik tiba di tempat kejadian dikatakan ingin membelok ke kanan jalan menyebabkan kenderaan pacuan roda di belakangnya tidak sempat mengelak, lalu merempuh sisi belakang motosikal itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan raya.

“Pemandu pacuan empat roda berusia 22 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah pun membuat laporan polis berhubung kemalangan itu,” katanya.

Kamaruddin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Besut untuk menerima rawatan lanjut.

Manakala mayat Minah dihantar ke bilik mayat untuk bedah siasat sebelum dituntut warisnya untuk dibawa pulang ke Kampung Pak Wong, Jertih.

Sementara itu waris mangsa yang enggan dikenal berkata, sebelum itu Mohd Norizan membawa ibunya ke sebuah klinik swasta di Jertih untuk mendapatkan ubatnya kemudian membeli-belah di bandar tersebut.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang ke rumah itu, Mohd Norizan dikatakan ingin singgah di sebuah kedai untuk membeli racun rumpai yang terletak di sebelah kanan jalan dari arah Jertih berhampiran tempat kejadian.

Mangsa ibu tunggal yang tinggal bersama anaknya di Kampung Pak Wong meninggalkan sembilan anak dan sebahagian besar mereka menetap di luar negeri ini.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment