Thursday 6 October 2011

Tiga motif serangan asid dikenal pasti

06/10/2011 2:46pm
 KUALA LUMPUR — Rompakan, cemburu dan balas dendam dikenal pasti sebagai motif serangan asid yang jumlahnya semakin bertambah sejak akhir-akhir ini, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, tiga kes dilaporkan pada tahun 2009, 10 kes pada tahun 2010 dan 45 kes sehingga Oktober 2011. "Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 33 kes bermotifkan rompakan, cemburu dan niat membalas dendam. Polis mendapati cecair yang digunakan dalam kes-kes ini mengandungi kandungan asid yang tinggi dan menyebabkan kecederaan kekal,” katanya ketika menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang mahu tahu sama ada kerajaan telah mengkaji kriminologi penyerang asid. Beliau berkata, daripada jumlah itu juga, 25 kes adalah kes yang dilakukan secara bersiri di sekitar Kuala Lumpur dan polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif serangan bersiri itu. Abu Seman berkata, ekoran itu, pihak kementerian sedang mengkaji untuk meminda undang-undang untuk mengetatkan kawalan ke atas perolehan bahan asid. Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang), beliau berkata, hanya empat daripada 58 kes simbah asid yang dilaporkan sejak tahun 2009 hingga Oktober tahun ini telah berjaya diselesaikan. Abu Seman berkata, antara faktor sejumlah besar kes tidak dapat diselesaikan kerana mangsa tidak cam wajah suspek semasa kejadian. — Bernama

No comments:

Post a Comment