Thursday 6 October 2011

Tragedi beli buah tangan

Oleh Siti Fatimah Hassan dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
 am@hmetro.com.my
 MACHANG: Dua daripada empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang, Kelantan yang terbunuh selepas kereta dinaiki mereka berlanggar treler di Kilometer 4.2 Jalan Machang-Pasir Puteh, di sini, pagi semalam, sepatutnya pulang ke kampung masing-masing malam tadi. Satu-satunya mangsa yang selamat, Haziq Zailani, 19, berkata, dia dan empat rakannya yang terbunuh dalam kemalangan itu pergi ke Kota Bharu sebelum kejadian kerana mahu membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke kampung sempena cuti semester. “Kami semua baru selesai peperiksaan akhir semester kelmarin,” katanya ketika ditemui di Hospital Machang di sini, semalam. Empat rakannya yang terbunuh ialah Mohd Syamil Abdul Malek, Mohd Rizal Mohd Zin, Mohd Faizuddin Jamil dan Mohd Syazwan Rosli, semua berusia 19 tahun. Haziq berkata, ketika kemalangan mereka menaiki kereta sewa Perodua Kenari yang dipandu Mohd Syamil dari Machang ke Pasir Puteh sebelum terlanggar bahagian tengah treler dari arah bertentangan. Menurutnya, dia bersama Mohd Syamil dan Mohd Rizal sepatutnya bertolak pulang ke kampung di Batu Pahat dan Kluang, Johor pada jam 9 malam tadi dengan menaiki kereta api dari stesen kereta api Tanah Merah. “Kami ke Kota Bharu membeli barang dan keluar jam 10 malam. Kami juga sempat makan malam dan membeli-belah di Wakaf Che Yeh sebelum ke Pantai Cahaya Bulan,” katanya. Haziq berkata, ketika kejadian dia tertidur dan duduk di bahagian penumpang belakang sebelum terdengar bunyi dentuman kuat. “Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana hanya terjaga apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat rakan lain berlumuran darah,” katanya yang masih trauma. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Malek Bedot berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Mohd Syamil melanggar treler dan terperosok di bahagian tengah treler itu. “Kami masih menyiasat bagaimana kemalangan itu berlaku dan meminta saksi kejadian tampil memberikan maklumat. Kita turut menahan pemandu treler untuk ujian air kencing serta membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment