:Mereka langsung tidak menunjukkan rasa malu atau bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral itu walaupun ketika serbuan tersebut, semua skrin komputer memaparkan permainan judi ‘jackpot’.
Ada juga yang memberi alasan hanya datang ke pusat Internet itu untuk melihat gelagat rakan yang berjudi malah, ada juga yang sedang mengurut kaki rakan mereka sebagai alasan untuk tidak dibawa ke balai polis.
Dalam Operasi Dadu yang dijalankan di kawasan ini, seramai 42 orang termasuk tiga wanita dan dua penjaga pusat Internet ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam operasi yang sama, sebanyak 57 unit komputer dirampas dari kedua-dua pusat Internet terbabit.
Menurutnya, setiap premis itu dipasang CCTV bagi memudahkan mereka memantau kehadiran anggota polis selain bagi memastikan hanya pelanggan sahaja dibenarkan masuk.
“Keadaan premis itu kelihatan seolah-olah tidak digunakan dan tersorok pula walaupun hakikatnya ia berada di jalan utama,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Zahid berkata, walaupun kedua-dua premis yang diserbu itu mempunyai lesen perniagaan yang sah namun ia melanggar undang-undang di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan disiasat di bawah Seksyen 4B (a).
Katanya, pihaknya akan menghantar laporan kepada pihak Majlis Daerah Bera (MDB) untuk tindakan susulan berkaitan lesen perniagaan pengusaha terbabit.
Sekiranya disabitkan kesalahan, denda antara RM10,000 hingga RM100,000 boleh dikenakan atau penjara tidak lebih lima tahun bagi setiap unit komputer yang dirampas.
No comments:
Post a Comment