Thursday 6 October 2011

Polis cari baki Geng Sethu



BUKIT BERUANG - Bantuan orang ramai diperlukan bagi membantu polis Melaka mengesan dua lelaki, dipercayai terlibat dalam beberapa siri kes samun di negeri ini.

Kedua-dua mereka adalah saki baki anggota kumpulan samun paling dikehendaki polis iaitu Geng Sethu yang berjaya ditumpaskan polis awal September lalu.

Dalam operasi berkenaan, enam ahli kumpulan itu berjaya diberkas dan polis juga turut merampas barang kes, dipercayai hasil samun kumpulan terbabit.

Dua lelaki terbabit adalah Aiman Mazlan @ Aiman, 22, dengan alamat terakhir di 7/1C, Lorong Panjang dan G Puvaneswaran @ Kugan, 23, beralamat terakhir di DT 275, Jalan Ros, Taman Mekar Gangsa, Durian Tunggal.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, polis percaya dengan tertangkapnya enam ahli kumpulan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes samun di bandar raya ini.

Menurutnya, kumpulan berkenaan menggunakan modus operandi mengumpan mangsa ke hotel dengan menggunakan wanita.

“Apabila mangsa datang ke hotel, suspek akan merompak mangsa, selain turut mengambil kunci rumah mangsa.

“Penjenayah akan menyamun rumah mangsa semasa mangsa masih ditahan di hotel berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Ghee Lye menasihatkan sesiapa yang mengenali kedua-dua lelaki terbabit supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi talian 06-284 2222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Shukriyazam menerusi talian 019-710 1060.

No comments:

Post a Comment