Thursday 6 October 2011

Remaja perempuan mati lemas terperangkap dalam lubuk



KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kegembiraan enam remaja mandi sungai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas, dipercayai selepas terperangkap dalam lubuk di Sungai Gombak, Kampung Chubadak di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, mayat Fatin Naiha Kamaruzaman, 14, ditemui oleh penduduk kampung yang menjalankan gerakan mencari mangsa.
Sebanyak 15 anggota serta dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Gombak bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, mangsa dipercayai mandi di kawasan cetek bagaimanapun tidak menyedari terdapat lubuk dalam di kawasan berkenaan.
"Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda tersebut tiba-tiba menyedari kedua-dua kakinya terperangkap di dalam lubuk tersebut sebelum menjerit meminta bantuan.
"Bagaimanapun rakan-rakannya tidak berupaya menyelamatkan mangsa menyebabkan remaja itu lemas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mereka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

No comments:

Post a Comment