Thursday, 6 October 2011

KLCC ke Bukit Bintang caj RM300



Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/10/07

CHE HASNI  bersama pegawai Penguatkuasaan SPAD memeriksa pemandu teksi pada OPS SPAD.
CHE HASNI bersama pegawai Penguatkuasaan SPAD memeriksa pemandu teksi pada OPS SPAD.
Pemandu teksi salahkan penumpang yang enggan guna meter 

PETALING JAYA: “Maafkan saya...saya tidak menggunakan meter kerana penumpang yang mahukan begitu sebab hendak sampai segera ke lokasi dituju,” helah seorang daripada enam pemandu teksi yang ditahan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Bandar Sunway di sini, petang kelmarin.
Namun helahnya terbongkar selepas penumpang yang menaiki teksinya itu memperkenalkan diri sebagai pegawai SPAD yang turut terbabit dalam Ops Tegas 2 bagi mengesan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter dan mengenakan tambang sesuka hati.
Antara alasan lain yang diberikan ialah meter rosak, lokasi dituju terlalu jauh hingga pemandu tidak mendapat untung yang sepatutnya dan keadaan jalan yang sesak menyebabkan perjalanan mengambil masa lama. 

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata operasi selepas pihaknya menerima aduan mengenai salah laku sebahagian besar pemandu teksi yang tidak menggunakan meter. 

“Melalui tindakan yang kita ambil ini, pemandu teksi yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 75, Akta Pengangkutan Awam Darat dan jika didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

“Dengan hukuman yang agak berat ini kita berharap dapat mendidik pemandu teksi lain agar tidak melakukan atau mengulangi kesalahan sama selain mengharapkan penumpang yang ditipu memberikan maklumat lengkap dan segera kepada SPAD,” katanya ketika mengetuai operasi itu petang semalam. 
Beliau berkata, aduan banyak diterima daripada pelancong asing yang mendakwa pemandu teksi mengenakan tambang antara RM200 hingga RM300 dalam perjalanan dari KLCC ke Bukit Bintang. 

“Tindakan pemandu teksi tidak menggunakan meter serta menetapkan tambang sesuka hati boleh menjejaskan imej industri pelancongan negara kita,” katanya. 

Che Hasni berkata, selain kesalahan tidak menggunakan meter, ada juga pemandu teksi yang dikesan cuba menguasai hentian teksi awam tertentu dengan menghalau pemandu teksi lain serta memeras ugut pemandu yang ingin berhenti di hentian berkenaan.

No comments:

Post a Comment