Thursday 6 October 2011

TM Kelantan rugi RM3j akibat kecurian kabel





2011/10/07

KOTA BHARU: Telekom Malaysia Berhad (TM) Kelantan kerugian kira-kira RM3 juta membabitkan kes kecurian kabel dipercayai didalangi sindiket tertentu. 

Pengurus Besarnya, Ab Rashid Che Othman, berkata kecurian itu membabitkan kabel sepanjang kira-kira 110 kilometer yang mencatatkan 839 kes sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu.
“TM menghadapi cabaran dan ancaman paling getir sejak 2004 apabila kes kecurian kabel itu terus meningkat setiap tahun, menyebabkan perkhidmatan telekomunikasi seperti telefon dan internet sering terganggu,” katanya.
Ab Rashid berkata, kebanyakan kes kecurian kabel paling serius dilaporkan di Kota Bharu dengan jumlah kes 265, diikuti Pasir Mas (178); Tumpat (91); Bachok (71); Gua Musang (69); Tanah Merah (58); Pasir Puteh (34)’ Machang (34); Jeli (30); dan Kuala Krai (9). 

“Bagi memastikan kes kecurian kabel tidak terus berleluasa, TM Kelantan mengatur pelbagai strategi dan kaedah menerusi jalinan kerjasama dengan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPIN) iaitu Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan untuk memantau kawasan sering berlaku kecurian kabel. 

“Kerjasama itu termasuk membuat pemeriksaan terhadap pembeli barangan lusuh atau besi buruk dan memasang kabel bawah tanah bagi menggantikan talian serta memasang alat penggera yang boleh mengesan pelaku kes curi kabel berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata, kebanyakan kes kecurian kabel itu dilakukan penagih dadah diketuai kumpulan sindiket. Mereka memotong wayar kabel telefon di kawasan sunyi dan tersorok daripada pandangan orang ramai sebelum menariknya menggunakan galah atau lori. 
“Difahamkan, selepas itu kabel itu akan dibakar dengan mengambil tembaga untuk dijual kepada pembeli yang dipercayai diuruskan kumpulan sindiket tertentu,” katanya. 

Berikutan itu, katanya, TM Kelantan meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kejadian kecurian kabel di kawasan mereka untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment