Thursday 6 October 2011

Hanya 181,534 daftar derma organ

06/10/2011 3:10pm
 KUALA LUMPUR — Rakyat Malaysia didapati kurang menjadi penderma organ apabila hanya 0.64 peratus atau 181,534 orang daripada 28 juta penduduk negara ini berdaftar sebagai penderma organ sejak 1997. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye hari ini berkata, daripada jumlah itu, hanya 342 orang berjaya menjalankan pembedahan organ termasuk 33 orang sebagai penderma kardaverik iaitu menderma selepas mati tahun ini. "Menerusi laporan Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur, seramai 14,037 pesakit sedang menunggu bantuan organ,” katanya pada sidang media sempena Minggu Kesedaran Pendermaan Organ peringkat Kebangsaan 2011, yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 Okt ini, di sini. Beliau berkata, kira-kira 14,013 pesakit memerlukan bantuan organ buah pinggang dan bakinya memerlukan paru-paru, hati dan jantung. Daripada jumlah penderma yang berdaftar, katanya kaum Cina mendahului dengan 55.29 peratus, India (24.25 peratus) dan Melayu (17.64 peratus). Namun, kata Lam Thye, peningkatan penderma daripada kalangan kaum Melayu telah meningkat kepada 6,412 orang mulai Januari hingga September tahun ini berbanding 4,275 orang tahun lepas. — Bernama

No comments:

Post a Comment