BESUT – Seorang pemandu ambulans Hospital Besut terpaksa memandu ambulan hanya dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi menutup mata kiri sambil menahan sakit demi menyelamatkan nyawa dua bayi kembar ke hospital selepas dipukul bapa bayi berkenaan kerana dia didakwa lambat tiba di rumah lelaki itu.
Pemandu ambulans tersebut, Mahadi Mohd Jaafar, 39, cedera di mata kiri selepas ditumbuk bapa bayi itu yang berang kerana mendakwa mangsa lambat tiba untuk mengambil bayi lelaki kembar yang baru dilahirkan itu.
Menurut Mahadi, kejadian itu berlaku di hada-pan rumah lelaki kira-kira 2.45 pagi semalam di Rumah Murah Taman Abdullah, Alor Lintah dekat Jertih di sini.
“Sebelum kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, saya mendapat arahan daripada pegawai saya mengatakan keperluan untuk ambulan dan dalam masa tidak sampai dua minit saya terus ke Unit Kecemasan hospital untuk mengambil seorang doktor dan dua jururawat.
“Selepas doktor mengambil keperluannya, kami bergegas ke situ namun sebaik tiba di tempat kejadian tiba-tiba seorang lelaki meluru ke arah saya dan membuka pintu ambulans,” katanya.
Mahadi berkata, sambil memarahinya, lelaki berusia 30-an itu terus menumbuk mukanya dan dia bertanya mengapa lelaki itu melakukan sedemikian terhadapnya.
Katanya, lelaki itu yang dikatakan masih tidak berpuas hati dipercayai cuba mengambil kayu pula untuk memukulnya tetapi usahanya gagal selepas dihalang oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.
“Dia marahkan saya kerana kata saya lambat sampai sedangkan sedaya upaya untuk pergi ke situ tetapi kena pergi bersama doktor dan jururawat.
“Dia kata ‘mu pergi mana lambat sampai’ lepas itu terus pukul saya menyebabkan mata saya rasa sakit amat sakit,” katanya.
Biarpun begitu, Mahadi tetap membawa dua bayi lelaki kembar ke Hospital Besut dalam keadaan sakit demi anak lelaki itu yang baru dilahirkan.
Katanya, dia difahamkan keluarga lelaki tersebut datang ke hospital untuk meminta ambulans bagi mengambil bayi itu yang sudah bersalin di rumah dengan bantuan bidan klinik desa.
Mahadi berkata, akibat pukulan itu menyebabkan matanya sakit manakala penglihatannya kabur dan dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jertih pukul 3.25 pagi semalam selepas menghantar bayi tersebut ke Unit Kecemasan.
“Saya amat terkilan dengan perbuatan lelaki itu sedangkan saya berusaha tiba secepat mungkin dan ingin menyelamatkan isteri dan anaknya,” katanya.
Beliau telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan semalam dan doktor memberitahu tumbukan tersebut mengenai 100 peratus matanya menyebabkan kecederaan pada retina matanya.
:Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut dijalankan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment