Thursday, 6 October 2011

“Saya terjaga selepas bunyi dentuman”



MACHANG 6 Okt. – “Semasa kejadian berlaku, saya tidur di belakang. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat. Sebaik sahaja sedar saya lihat rakan-rakan sudah berlumuran darah.”
Demikian cerita Mohd. Haziq Zailani, 19, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang yang terselamat dalam nahas ngeri di Kilometer 4.2 Jalan Pasir Puteh-Machang dekat sini awal pagi tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia dan empat rakannya dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke UiTM selepas keluar makan di Wakaf Che Yeh serta bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu malam tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Machang di sini hari ini mendapati suasana pilu menyelubungi pekarangan hospital itu apabila rakan-rakan, ahli keluarga serta kakitangan UiTM Machang hadir sejurus menerima berita itu.
Mohd. Haziq yang cedera ringan dalam nahas tersebut, dilihat masih dalam keadaan trauma selepas terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa empat rakannya.
Bapa Mohd. Rizal, Mohd. Zain Yaacob, 50, berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulungnya itu adalah dua hari lalu ketika mengambil barangan milik arwah di UiTM Machang.
“Kelmarin, saya datang ke UiTM untuk mengambil barangan milik arwah. Semasa datang ke sini saya tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya, kecuali barang yang diberikan untuk dibawa pulang kali ini lebih banyak sedikit daripada sebelumnya.
“Setiap kali cuti, saya akan datang mengambil barang miliknya untuk dibawa pulang kerana sukar untuknya membawa naik dalam kereta api,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Machang di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment