TAWAU 6 Okt. - Seorang ibu di sini, Madelin @ Nurain Ak Egih Abdullah, masih terus mengharap agar dapat menemui anaknya, Nurul Afifah Syawani Sahran, 9, yang hilang sejak dua tahun lalu.
Nurain, 39, tidak pernah berputus asa untuk mencari anaknya, yang dipanggil Effa dan sudah menggunakan segala cara serta saluran untuk menjejaki Effa yang hilang dari kawasan rumahnya di Kampung Kijang, Merotai Besar, pada 16 Ogos 2009.
"Sudah lebih 100 bomoh yang datang menghulurkan bantuan kepada kami namun sehingga kini anak saya belum juga ditemui," kata Nurain ketika meluahkan kerinduannya kepada anak kelima daripada tujuh beradik itu.
Menurut Nurain bomoh yang datang menghulurkan bantuan itu ada yang datang dari Indonesia, Semenanjung, Sarawak, Kota Kinabalu dan dari Tawau namun belum ada yang dapat mengesan di mana lokasi anaknya sekarang.
Menceritakan semula kisah kehilangan Effa yang ketika itu merupakan pelajar Tahun 1 di SK Merotai Besar, Nurain berkata, mereka sekeluarga menyedari kehilangan anaknya itu apabila Effa tidak balik ke rumah walaupun sudah masuk waktu Maghrib.
Ekoran kehilangan Effa itu, mereka membuat laporan polis dan operasi mencari terus dijalankan pihak berkuasa bersama penduduk kampung selama tujuh hari tujuh malam di merata-rata tempat termasuk di kawasan sungai berhampiran namun gagal mengesan Effa.
Menurut Nurain, Effa memiliki tahi lalat di bahagian bawah mata dan peha sebelah kanan serta berkulit cerah.
"Sekiranya ada di antara individu di luar sana yang telah mengambil ataupun menjaga anak saya selama ini, saya merayu dan tolong hubungilah saya.
Saya tidak akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka. Cukuplah jika anak saya dapat dikembalikan," katanya.
Nurain boleh dihubungi di talian 014-5851941. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment